Saturday, September 2, 2006

Di Ambang Maut - Bahagian 2

Anda pernah dengar lagu ‘Ingat 5 Perkara Sebelum 5 Perkara’? Ia dinyanyikan kumpulan nasyid Raihan. Liriknya yang cukup bererti berbunyi begini…

· Ingat 5 perkara

· Sebelum 5 perkara

· Sihat sebelum sakit

· Muda sebelum tua

· Kaya sebelum miskin

· Lapang sebelum sempit

· Hidup sebelum mati!

Ketika menjalani rawtan PTCA di bilik OT, Hospital Pantai, saya di bius. Sedar-sedar saja saya sudah berada di wad CCU. Ketika itu hari sudah malam dan yang kelihatan semasa saya membuka mata ialah wajah-wajah Zainal dan emak.

Walaupun ketika itu tubuh masih lemah, saya mampu tersenyum kepada dua insan yang sangat saya kasihi itu. Mujurlah masih hidup. Ingatkan apabila keluar dari bilik OT, saya sudah menjadi mayat!

Alangkah sedihnya andai saya betul-betul meninggal dunia hari itu. Amal ibadah saya belum cukup. Dosa masih berlambak. Mengenang itu semua hati pilu sekali. Syukurlah pintu taubat masih terbuka. Allah masih beri peluang saya hidup di dunia yang indah ini.

Malam itu saya tidak dibenar bangun dari katil. Sebaliknya kena berbaring selama 6 jam. Kata jururawat bertugas, saya kena lie down flat, jika tidak, darah akan memancut keluar daripada celah kelengkang saya yang di tebuk. Maka terbaringlah saya sepanjang malam di wad yang teramat dingin itu.

Di sekeliling wad kelihatan pesakit-pesakit lain yang senasib. Ada yang sedang tenat, ada yang asyik mengerang, yang lena berdengkur dan yang terkebil-kebil tidak boleh tidur…

Yang tidak boleh tidur itu siapa lagi kalau bukan saya. Puas cuba melelapkan mata tapi tidak juga tertidur. Lelaki India yang terbaring setentang katil saya terbeliak saja matanya, sedikit tidak berkelip. Saya amat tidak selesa, rimas dengan renungan tajam lelaki India itu.

Apabila jururawat datang mengambil suhu badan, saya bertanya perihal lelaki itu. Rupa-rupanya dia sedang koma kerana darah membeku di otaknya akibat kemalangan jalan raya. Kasihan sungguh. Kelihatan dia masih muda, dalam usia awal 20an. Khabarnya dia mat rempit yang kaki
race.

Di wad CCU, para pelawat dibenar masuk maksimum dua orang bagi setiap pesakit. Kira-kira jam 9:00 malam, saudara-mara lelaki India itu datang melawatnya. Mungkin kerana terharu, dua orang tanggaci menangis teresak-esak sambil berteriak… ayoyo, ayoyo!!! Mereke sedih gila. Sudah pasti lelaki India itu orang yang amat disayangi mereka. Makin lama ratapan pilu kedua wanita muda itu bertambah kuat, siap tepuk-tepuk dahi dan dada.

Kata orang, berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul. Mendengar kecoh ratapan mereka berdua, jururawat datang menegur dan meminta mereka perlahankan suara. Walaupun terganggu, saya terleka melihat ‘drama’ di depan mata. Macam tengok teater pula.

Di kiri lelaki India itu terbaring lelaki tua bangsa Cina. Wajahnya tampak tenang dan sedang tidur lena. Sebahagian katil lelaki itu dilindungi tirai, namun saya boleh nampak mulutnya yang ternganga dan pernafasannya dibantu dengan tiub oksigen. Pesakit ini tidak menggangu sesiapa. Namun saya rimas dengan alunan lagu yang datang dari arah katilnya.

Bunyinya seperti orang sedang beratip di kuil Buddha. Melodi sedih itu datang dari sekeping tape yang dimainkan anak lelaki tua itu berulang kali di cassette player. Berdengung-dengung bunyinya, menambah sulitkan saya hendak lelap mata. Apabila jururawat datang mengambil bacaan tekanan darah, saya bertanya lagi mengapa lagu sedih itu dimainkan sepanjang malam.

Rupa-rupanya lelaki tua itu sedang tenat dan menunggu masa ajalnya menjemput. Punyalah terkejut saya. Terkejut bercampur takut. Tengkuk terasa seram sejuk. Saya minta jururawat rentangkan tirai supaya lelaki itu terhadang daripada pandangan. Apa-apa hal terjadi kepadanya malam itu biarlah saya tidak nampak. Tidak sanggup mahu mahu saksikan saat nyawa lelaki itu melayang, dicabut Malaikat Maut…


Anda pernah berbaring terus-menerus selama 6 jam? Huh, jika pernah tentu anda faham betapa lengohnya badan saya. Punyalah boring… Mengiring ke kiri rasa tidak kena, mengiring ke kanan tidak selesa. Pinggang sakit, dengan tiub air kencing terpasang, sengsara sungguh.

Saya terasa mahu menangis tapi apakan daya, terpaksa bersabar. Dr. Eugene datang memeriksa saya jam 10:00 malam. Dia nasihati saya supaya tidur. Saya cuba pejamkan mata dan entah berapa lama kemudian terlena. Sedang sedap tidur, saya dikejutkan suara nyaring berteriak…

“Ameng OOOO! Menggggg!!! AmenggggGGGG!!!”

Sekuat-kuat hati yang empunya suara itu melolong. Saya cuba pekakkan telinga tapi suara itu terlalu kuat dan dekat. Rupa-rupanya ia datang dari sebelah katil saya. Sebenarnya saya tidak perasan seorang wanita Cina separuh umur di sebelah sebab katilnya dilindungi tirai. Dia tidak buat apa-apa kes sebelum itu. Jururawat bergegas datang memujuknya.

“Asoh, jangan nangis. Ameng balik rumah. Dia penat, balik tidur. Sekejap nanti dia datang baliklah.”

Tapi wanita itu tidak makan dipujuk, macam budak kecil yang tidak reti bahasa. Dia terus meraung macam orang kena celur dalam dalam air panas. Sambil melalak dia memangil-manggil nama Ameng. Sampai serak-serak suara dia menjerit. Pusang betul hati saya dibuatnya. Terasa mahu tekup mulut dia dengan bantal. Tapi apakan daya, saya tidak boleh bangun. Saya tahankan telinga saja sambil berdoa cepatlah Ameng sampai.

Dalam setengah jam kemudian datanglah Ameng yang namanya diseru-seru ibunya. Sebaik saja nampak Ameng, nyonya itu berhenti menangis. Barulah aman suasana di wad CCU itu. Saya terasa mahu beri Ameng duit upah sebab berjaya memujuk ibunya berhenti menangis.

Saya cuba tidur semula tetapi mata tidak mahu lelap. Dalam suasana sunyi sepi menjelang dini hari, saya terkebil-kebil di atas katil. Kelibat para jururawat yang pergi-balik di depan katil saya menimbulkan rasa kasihan kepada mereka. Mulia sungguh hati insan-insan itu.

Ketika orang lain diulit mimpi, mereka bertungkus-lumus bekerja. Sedikit pun tidak menunjuk rasa jijik, loya atau bersikap bengkeng ketika bersihkan muntah dan darah, mengelap badan pesakit, menukarkan pakaian dan entah apa-apa lagi. Malam itu saya mengalami sendiri layanan baik para jururawat di wad CCU.

Saya terasa malu pada diri sendiri. Dengan jujur, kalau saya di tempat mereka memang saya tidak sanggup lakukan kerja-kerja itu walaupun di bayar gaji tinggi. Terhidu najis kucing sudah mual. Belum lagi mencuci dan membersihkan segala kotoran manusia. Tapi para jururawat itu tenang melaksanakan tugasan mereka.

Kalau tiada orang-orang berhati mulia lagi sabar seperti mereka, siapakah yang akan menjaga kami yang terlantar sakit dan perlukan layanan? Malam itu pandangan saya berubah sama sekali terhadap tugas para jururawat. Saya amat berterima kasih, malah sangat menghargai mereka.

Saya berdoa penat lelah dan budi baik para jururawat yang melayan pesakit dengan ikhlas mendapat ganjaran serupa dalam kehidupan masing-masing. Saya bertekad apabila keluar dari hospital dan sembuh semula, akan mengirim kad ucapan terima kasih kepada para jururawat yang bertugas di wad CCU itu. Hutang emas boleh di bayar, hutang budi dibawa mati.

Malam itu memang susah benar saya mahu lelapkan mata. Fikiran melayang jauh mengenang nasib diri. Mengapa jadi begini? Mengapa secara tiba-tiba saya diserang sakit jantung? Saya cuba ingati hari-hari sebelum itu. Ya, memang saya ada terasa kurang sihat, malah sudah lebih seminggu asyik keletihan dan mengantuk.

Bukan sekali dua saya terlelap dalam kereta di perjalanan balik ke pejabat selepas keluar lunch dengan Zainal. Saya tidur sampai tersenggut-senggut. Selepas makan malam pun saya begitu, cepat hendak tidur. Kata Zainal, saya mahu jadi ular. Ular bukankah suka tidur berlengkar apabila kenyang!

Saya juga teringat tangan kiri yang lengoh-lengoh tanpa sebab. Ubat sakit urat yang saya ambil di klinik swasta sudah habis dimakan namun tidak berkesan. Rasa lengoh-lengoh itu datang berulang-ulang. Mungkin itulah tanda-tanda sakit jantung yang tidak langsung saya endahkan sebelum itu.

Selang beberapa hari terlantar di hospital, saya dibenar pulang. Doktor berpesan supaya saya berehat 6 minggu. Itulah pertama kali sejak sekian lama bekerja saya mengambil cuti panjang untuk berehat. Namun begitu, belum pun sampai 2 minggu di rumah, saya sudah terasa bosan.

Kekok rasanya tidak bekerja berhari-hari. Saya ambil keputusan untuk pendekkan cuti rehat. Puas Zainal nasihati saya tapi ‘perempuan ini’ memang degil. Malah tersangat degil. Saya berkeras juga untuk ke pejabat. Seperti dijangka, kerja di sana melambak-lambak tidak siap.

Waktu itu jawatan saya sebagai Pengarah Urusan dan banyak keputusan tertangguh apabila saya bercuti. Balik ke pejabat saya terus bekerja, mula-mula datang setengah hari, selepas itu balik lewat petang. Apabila bekerja saya seperti terlupakan diri. Macam kan saya tiada semua kerja tidak menjadi. Begitulah perasaan saya terhadap tugas dan tanggungjawab di pejabat.

Bersambung…